“Sebarang perjuangan yang bersifat perkauman, atau hanya demi kepentingan kaum tertentu amatlah tidak relevan untuk kehidupan dunia yang Allah ciptakan terdiri daripada berbagai puak dan bangsa.
Dalam negara yang multi-racial seperti kita, perjuangan kaum samada politik atau bukan politik akan mencerumuskan kepada krisis yang tidak berkesudahan. Selain itu, perjuangan kaum tiada kejelasan prinsip mengenainya.
Inilah sebabnya perjuangan atas semangat kaum ‘Arab yang dipimpin oleh tokoh-tokoh politik pada zaman ini kecundang. Tidak mereka berjaya menegakkan kedaulatan ‘Arab, bahkan gagal mempertahankan wilayah ‘Arab itu sendiri. Walaupun slogan perkauman berdegar-degar, namun ‘Arab tetap menjadi hamba Amerika.
Sepatutnya, seorang muslim tidak bersifat perkauman kerana itu bercanggah dengan prinsip Islam yang merahmati semua bangsa yang diciptakan Allah. Sepatutnya, yang diperjuangkan adalah prinsip-prinsip Islam yang rahmat dan adil. Tegakkan Islam yang sebenar seperti jenerasi salaf, maka pasti akan tertegak keadilan untuk semua. Islam tulen, bukan Islam campuran yang sudah hilang keaslian.
Jika Islam sebenar itu diperjuangkan, kita akan dapati isu perkauman tidak akan bangkit dalam negara ini. Pertubuhan atau badan yang tegak atas dasar kaum tertentu, perlu menyemak semula matlamat dan agendanya. Lebih daripada itu, adakah perjuangan sebegitu mendapat keredhaan Allah?”.
sumber: http://drmaza.com/home/
me: fikir-fikir, renung-renung. semoga diri ini tidak tertipu dengan perjuangan yg sia2.