Kempen baru puak anti-Muslim


NGO edar DVD papar agama Islam sebagai radikal di seluruh Amerika Syarikat


KAHERAH: Masyarakat Muslim Amerika Syarikat berang dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengedarkan dokumentari anti-Islam ke seluruh negara itu, termasuk oleh akhbar dan stesen berpengaruh bertujuan menakutkan penduduk tempatan terhadap Islam dan penganutnya.

Dokumentari 60 minit Obsession: Radical Islam's War Against The West menuduh Islam sebagai agama radikal yang memerangi Kristian, Amerika dan Barat selepas sambutan 11 September dan ketika kempen pemilihan Presiden semakin hebat.

Ia pada asalnya dihasilkan pada 2006 tetapi dibuat salinan baru dan diedarkan semula menerusi kempen yang disifatkan Majlis Perhubungan Islam-Amerika (CAIR) sebagai berniat jahat.

"Filem itu memesongkan kritikan mengenai keganasan dan radikal," tegas Pengarah Komunikasi CAIR, Ahmed Rehab, kepada akhbar Tampa Tribune, kelmarin.

"Mereka mengeksploitasi rasa takut dan kebimbangan yang wujud di negara itu dengan cuba mencetuskan konflik keagamaan yang lebih bahaya."

Ringkasan cakera padat digital (DVD) filem turut diedar bersama 70 akhbar perdana negara itu ke seluruh Amerika. Berjuta-juta salinan turut dihantar kepada rakyat Amerika menerusi pos.

Malah, ia juga ditayangkan di kampus universiti di sekitar negara itu yang dalam kempen memerangi pengganas selepas kejadian 11 September 2001.

Ia antara lain memaparkan temu bual dengan individu pro-Kristian dan Yahudi yang sememangnya diketahui mempunyai pandangan anti-Islam termasuk Martin Gilbert, Daniel Pipes dan Steve Emerson.

Dokumentari berkenaan turut menyelitkan imej serta sedutan serangan ganas, klip disiarkan stesen televisyen Arab dan filem sejarah.

Ia diterbitkan Clarion Fund, satu badan bukan kerajaan (NGO) diasaskan pada 2006 oleh penerbit filem Kanada, Raphael Shore yang turut menulis skrip dokumentari berkenaan. Shore menetap di Israel.

Kenyataan Clarion Fund yang disiarkan pada laman webnya mempertahankan tindakan menghasil dan mengedarkan dokumentari berkenaan atas alasan mahu mendidik rakyat Amerika memahami apa didakwanya sebagai sentimen radikal Muslim yang sebenar.

Malah, penerbit Obsession: Radical Islam's War Against The West itu turut mengakui yang dokumentari kontroversi mereka bertujuan menakutkan rakyat Amerika.

"Tujuan kami mengeluarkan semula dokumentari berkenaan adalah selaras dengan ulang tahun 9/11," kata Pengarah Komunikasi Clarion Fund, Gregory Ross.

Namun, masyarakat Muslim menyifatkan tindakan itu bersempena pemilihan Presiden baru November ini, apalagi dokumentari itu menjadi tajuk perbincangan beberapa rancangan radio.

Stesen penyiaran, Fox News mewujudkan segmen khas selama sejam kepada dokumentari itu pada waktu perdana dan ia disiarkan sembilan kali dalam masa dua minggu. – Agensi

0 comments:

Post a Comment